collections khutbah Meniti kehidupan, mengingati pengakhiran
Meniti kehidupan, mengingati pengakhiran

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

26 Disember 2025 / 5 Rejab 1447H

Meniti Kehidupan, Mengingati Pengakhiran

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Tingkatkanlah ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. Laksanakan segala perintah-Nya dan jauhilah segala larangan-Nya. Serulah kepada kebaikan dan cegah setiap kemungkaran. Peliharalah keikhlasan dalam setiap amalan. Bantulah mereka yang memerlukan dan berdoalah memohon keredaan Allah. Hiasilah diri kita dengan sifat rendah hati pada setiap masa. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kepada kita semua pengakhiran yang baik bagi kehidupan dunia yang sementara. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dalam setiap khutbah yang disampaikan, pasti terkandung pesanan agar kita bertakwa. Perhatikan antara ayat yang sering disebutkan, iaitu firman Allah s.w.t. dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 102:

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”

Saban minggu kita mendengar pesanan ini. Namun, pernahkah kita bertanya: adakah kita benar-benar telah menghayati maknanya? Adakah kita benar-benar bertakwa kepada Allah s.w.t. sebagaimana yang sepatutnya? Dan sekiranya kita diundang kembali kepada Allah s.w.t. pada bila-bila masa, yakinkah kita bahawa kita akan mati sebagai seorang Muslim yang sejati, yang bertakwa, yang taat, dan yang bersifat mulia?

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Kita hidup pada hari ini dalam sebuah dunia yang penuh dengan pelbagai gangguan. Gangguan ini datang dalam pelbagai bentuk – daripada perkembangan dunia, alat digital, tuntutan pekerjaan dan kehidupan harian. Jika kita tidak peka, kita boleh hanyut dalam lautan gangguan ini, sehingga akhirnya kita kehilangan tumpuan terhadap tujuan utama kewujudan kita, iaitu untuk beribadah kepada Allah s.w.t.

Kita bekerja bersungguh-sungguh demi mencari rezeki, namun dalam kesibukan itu, mungkin kita terlupa untuk mensyukuri Pemberi segala rezeki. Kita berusaha melindungi apa yang kita anggap paling penting dalam hidup – keluarga, harta dan kesihatan – namun dalam usaha tersebut, kita mungkin terlupa untuk memohon perlindungan daripada Tuhan yang Maha Pelindung.

Kita mungkin telah menganggap nikmat-nikmat yang Allah s.w.t. kurniakan seolah-olah ia adalah milik kita secara mutlak, sehingga kita terlupa bahawa Allah s.w.t.lah yang memberi dan boleh mengambil kembali nikmat tersebut menurut kehendak-Nya. Kita mungkin melakukan dan melengahkan kebaikan dengan anggapan bahawa masih banyak masa untuk berbuat demikian, atau melakukan dosa dengan sangkaan bahawa masih banyak masa untuk bertaubat.

Saudaraku,

Hakikatnya adalah kita langsung tidak mengetahui berapa lama lagikah kita akan hidup di muka bumi ini. Kematian adalah suatu kepastian, dan ia mungkin datang pada saat yang paling tidak dijangkakan. Kematian tidak mengenal usia, tahap kesihatan, kekayaan mahupun kedudukan. Kematian tidak menunggu seseorang itu mencapai tahap iman atau ketakwaan yang sempurna. Umur setiap kita telah ditentukan, dan kematian akan datang tepat pada waktunya.

Oleh itu, hendaklah kita meniti setiap hari-hari kita dengan kesedaran akan pengakhiran hidup kita, serta bersedia menghadapinya dengan sentiasa berusaha untuk beribadah kepada Allah s.w.t. dan memperbanyakkan amal soleh.

Seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Ibn Umar r.a. pernah berpesan: “Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu datangnya waktu pagi. Dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu datangnya waktu petang.”

Oleh itu saudaraku, usahlah menunggu hari esok, lusa atau tahun hadapan untuk berusaha ke arah pembaikan. Mulakanlah ia sekarang juga. Setiap hari, kita harus berusaha untuk menjadi Muslim yang lebih baik daripada semalam. Setiap hari adalah peluang baharu untuk memperbaiki hubungan kita dengan Allah, menguatkan ibadah kita, menyucikan hati kita, dan mengisi buku amalan kita dengan kebaikan.

Setiap detik yang kita gunakan untuk beribadah, mengingati Allah, dan melakukan kebaikan adalah detik yang mendekatkan kita kepada-Nya. Janganlah kita melengah-lengahkan detik-detik yang berharga ini, kerana kita sendiri tidak tahu bilakah ajal kita. Dan apabila masanya tiba, kita ingin bertemu Allah dalam keadaan tunduk dan taat, rendah hati dan penuh keikhlasan.

Saudara yang dikasihi Allah sekalian,

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba, Dia akan menggerakkannya untuk beramal.” Lalu Baginda ditanya, “Bagaimanakah Allah menggerakkannya, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Dengan memberi taufik kepadanya untuk melakukan amal soleh sebelum kematiannya.” (Riwayat at-Tirmizi)

Sekiranya kita masih belum merasakan dorongan dalam diri untuk melakukan kebaikan, ia mungkin merupakan satu tanda bahawa terdapat kelemahan dalam hubungan kita dengan Allah. Ia menuntut kita untuk bermuhasabah dengan mendalam terhadap ibadah kita dan berusaha untuk kembali kepada tujuan sebenar kehidupan.

Di saat sekalian manusia menunggu akhir tahun melabuhkan tirainya, seorang Muslim seharusnya terus bangkit, menggunakan setiap hari untuk berusaha memperbanyakkan amal kebaikan. Terutama sekali, dengan kedatangan bulan Rejab, iaitu antara bulan haram yang agung di sisi Allah. Bagi kita, inilah tanda permulaan musim kerohanian dan ketaatan yang telah lama dinanti-nantikan.

Semoga Allah s.w.t. membimbing kita semua menjadi hamba-hamba yang sentiasa beramal soleh dan berusaha meraih keredaan-Nya. Semoga Allah s.w.t. menjadikan kita dalam kalangan mereka yang benar-benar bertakwa kepada-Nya sebagaimana yang sepatutnya, dan mengurniakan kepada kita pengakhiran yang mulia – kembali kepada-Nya sebagai Muslim yang sejati, yang bertakwa, yang taat, dan yang bersifat mulia. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua