collections khutbah Menjadi insan kebanggaan Nabi Muhammad s.a.w.
Menjadi insan kebanggaan Nabi Muhammad s.a.w.

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

28 Ogos 2026 / 15 Rabiulawal 1448H

Menjadi Insan Kebanggaan Nabi Muhammad s.a.w.

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Bertakwalah kepada Allah s.w.t. Dirikanlah perintah-Nya dan jauhi tegahan-Nya. Semoga kita sentiasa berada dalam rahmat dan perlindungan-Nya. Amin.

Saudara yang dikasihi,

Ketahuilah! Yakinilah! Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w. mencintai kita, umatnya, lebih daripada apa yang dapat kita bayangkan. Baginda s.a.w. pernah mengangkat kedua tangannya dan berkata: “Ya Allah, umatkuUmatku!” lalu baginda menangis, kerana bimbang akan nasib kita di dunia dan di akhirat kelak (Riwayat Muslim).

Baginda juga pernah bersabda: “Wahai Abu Bakar, aku begitu rindu ingin bertemu dengan saudaraku.” Apabila ditanya para sahabat, baginda dengan jelas merujuk kepada kita, umatnya, yang datang kemudian dan tidak pernah bersua muka tetapi beriman dengannya. (Riwayat Muslim)

Pada Hari Kebangkitan kelak, Nabi Muhammad s.a.w. akan menunggu kita di telaga al-Haudh. Baginda s.a.w. mengenali umatnya yang mendatangi telaga tersebut. Malangnya, ada antara mereka yang akan dijauhkan dari mendekati telaga tersebut dan juga Baginda s.a.w. Melihat hal ini, Rasulullah s.a.w. menyeru: “Sahabat-sahabatku! Sahabat-sahabatku!” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Saksikanlah! Kasih sayang dan keprihatinan baginda terhadap umatnya tidak pernah mengenal garis penamat.

Subhanallah, inilah kecintaan agung Nabi Muhammad s.a.w. kepada kita. Yang demikian, khutbah pada hari ini mengajak kita menjadi insan kebanggaan Nabi Muhammad s.a.w. Bagaimana caranya? Jawapannya terakam dalam Surah al-Hasyr, ayat 7:

“Apa jua (perintah) yang dibawa oleh Rasul kepada kamu maka terimalah, dan apa jua yang dilarangnya kamu daripada (melakukannya) maka jauhilah.”

Saudaraku,

Membanggakan Nabi s.a.w. tidak memerlukan pencapaian yang luar biasa. Ia boleh bermula dengan perkara-perkara yang paling ringkas yang diajarkan Baginda s.a.w.

Berbaktilah kepada kedua ibu bapa, sentiasa berhubungan dengan mereka, atau seringlah menziarahi mereka. Apabila berbicara, lunakkanlah bahasa. Bersabarlah ketika mendampingi mereka meniti usia senja. Dirikanlah solat, ucapkanlah salam, ukirkanlah senyuman, tuturkanlah kata-kata yang baik lagi benar, berlemah-lembutlah dalam pergaulan, kotakan janji, ziarahi mereka yang sakit, bersedekah, memberi makan kepada mereka yang lapar, membantu jiran dan taulan. Inilah Hadyun Nabawi atau pendekatan dan petunjuk hidup yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. yang kita kasihi.

Janganlah pula kita berdusta walaupun mungkin ia kelihatan remeh. Usah mengkhianati amanah. Jauhi dari menyinggung perasaan insan lain dengan lisan mahupun tindakan kita. Jangan mengaibkan orang lain walaupun sekadar gurauan. Hindari dari menyebarkan khabar angin yang tidak diketahui kebenarannya. Jauhi dari mengumpat dan mengadu domba.

Jangan biarkan kejayaan menjadikan kita sombong. Janganlah berdengki dengan mengharapkan hilangnya nikmat yang ada pada orang lain. Janganlah menyusahkan kehidupan seseorang, sedangkan Allah telah mengurniakan kita kelebihan untuk memudahkannya. Saudara-saudara, inilah Hadyun Nabawi yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. yang kita cintai dan sanjungi.

Semoga, peringatan-peringatan ini membangkitkan keazaman ingin bertemu dengan Baginda s.a.w. Semoga kita dikenali oleh Baginda s.a.w. Semoga kita menjadi insan kebanggaan Nabi Muhammad s.a.w.

Semoga apabila kita dikumpulkan di hadapan Rasulullah s.a.w., Baginda tersenyum melihat kita dan berkata: “Aku berbangga denganmu, wahai umatku.” Amin ya Rabbal 'Alamin.

Kedua Khutbah