collections khutbah Menyucikan hati daripada sikap sombong
Menyucikan hati daripada sikap sombong

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

18 Februari 2022 / 16 Rejab 1443H

Menyucikan hati daripada sikap sombong

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita terus meningkatkan ketakwaan kepada Allah (s.w.t.) dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan takwa, kita dapat terus meraih petunjuk dan pertolongan Allah di dunia dan di akhirat.

Saudara dan saudari,

Pada minggu lalu, kita telah sama-sama menghayati sifat kesabaran dan ketabahan Nabi Ayyub (a.s.) dalam menempuh ujian. Pada minggu, ini kita akan melihat pula kisah iblis yang enggan mendengar perintah Allah (s.w.t.) untuk sujud kepada Nabi Adam (a.s.). Allah (s.w.t.) merakamkan perbualan mereka dalam surah Al-A’raf ayat 11-12:

Yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud melainkan iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud.”

Kemudian Allah (s.w.t.) lalu bertanya kepada iblis apakah sebab keenganannya untuk sujud, iblis lantas menjawab:

Yang bermaksud: Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahkan kepadamu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan aku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah."

Demikianlah kesombongan iblis yang telah menyebabkannya ingkar kepada perintah Allah (s.w.t.) kerana merasakan dirinya lebih mulia daripada Nabi Adam (a.s.).

Saudara dan saudari,

Sombong adalah sifat yang tercela dan boleh meruntuhkan keperibadian murni seorang individu. Begitulah sikap iblis yang berbangga dengan dirinya sendiri lalu memandang rendah kepada orang lain. Tambahan dari itu, sikap sombong dan ego itu juga menjadi penyebab mengapa iblis merasakan hanya pandangannya sahaja yang benar. Dia tidak melihat kesalahan dan kekurangan yang ada pada dirinya tetapi hanya melihat kesalahan dan kekurangan pada diri orang lain.

Ia merupakan satu sikap yang bermasalah, kerana bakal mengakibatkan kerugian terhadap seorang individu yang sombong. Kerugian di dunia dan juga di akhirat. Di dunia, kerana sikap menyombong diri, bakal memberi kesan yang buruk pada hubungan kita seharian. Adapun di akhirat, Nabi Muhammad (s.a.w.) pernah bersabda:

Yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi.” (Hadis Riwayat Imam Muslim).

 

Saudara dan saudari,

Di sini izinkan saya untuk kongsikan beberapa cara untuk menyucikan hati daripada sikap sombong:

Yang pertama: Untuk menanam di dalam diri sikap merendah diri dan menghormati orang lain. Orang Mukmin adalah mereka yang selalu merendah diri dan menghormati manusia lain. Allah (s.w.t.) berfirman yang bermaksud: “Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik dan selamat ” (Surah al-Furqan:63).

Dan antara perkara yang boleh melahirkan rasa merendah diri, adalah apabila kita sentiasa merenungkan kelemahan dan kekurangan diri sendiri.

Saudaraku, segala yang kita milik ini, daripada harta kekayaan, anak dan keluarga, sehinggakan baju yang sekarang ini kita gunakan, segalanya kurniaan Allah (s.w.t.) Sehinggakan jasad, nyawa dan kesihatan, semuanya merupakan pinjaman sementara. Maka seorang mukmin yang memahami fakta kehidupan ini, tiada ruang di dalam hatinya untuk berbangga diri dan menyombong.

Yang kedua: Berusaha melihat dan menghargai kelebihan orang lain. Abdullah Al-Muzani (r.a.) mengatakan: “Jika iblis memberikan was-was kepadamu bahawa engkau lebih mulia dari Muslim lainnya, maka perhatikanlah. Jika ada orang lain yang lebih tua darimu, maka seharusnya engkau katakan, ‘Orang tersebut telah lebih dahulu beriman dan beramal soleh dariku, maka dia lebih baik dariku. Jika ada orang yang lebih muda darimu, maka seharusnya engkau katakan, Aku telah lebih dahulu bermaksiat dan berlumuran dosa serta lebih pantas mendapatkan siksa berbanding dirinya, maka dia sebenarnya lebih baik dariku.” (Nukilan daripada Kitab Hilyatul Awliya’).

Bersikap terbukalah sesama insan apabila bergaul sesama kita. Kerana setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Daripada kelebihan itulah kita saling melengkapi dan saling bantu membantu ke arah kebaikan.

Semoga kita selamat dari sifat sombong dan dapat sentiasa menanamkan rasa kasih sayang dan saling menghormati sesama insan. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.