collections khutbah Menzahirkan Sifat Rahmah Dan Mawaddah Dalam Keluarga
Menzahirkan Sifat Rahmah Dan Mawaddah Dalam Keluarga

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

9 Disember 2022 / 14 Jamadilawal 1444H

  
Menzahirkan Sifat Rahmah Dan Mawaddah Dalam Keluarga

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t) dengan melakukan kebaikan sesama ahli keluarga kita. Semoga dengan kebaikan yang kita lakukan, Allah (s.w.t) golongkan kita dari kalangan hamba-Nya yang mulia. Amin.

Saudara dan saudari,

Di antara tanda kebesaran Allah (s.w.t) adalah kehidupan berpasang-pasangan di antara suami dan isteri. Allah (s.w.t) berfirman di dalam Surah Ar-rum, ayat 21:

Yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir.

Seperti yang disebut pada ayat tadi, ketenangan yang lahir dari kehidupan berpasangan memerlukan dua sifat asas yang utama. Yang pertama: sifat mawaddah. Dan yang kedua: sifat rahmah.

Pada kesempatan kali ini, izinkan saya memulakan khutbah ini dengan berkongsi satu kisah, sebagai teladan buat diri kita semua. Kisah berkaitan rumahtangga Nabi Muhammad (s.a.w) sebagaimana yang diceritakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Aswad bin Yazid:

سَأَلْتُ عَائِشَةَ مَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْنَعُ فِي بَيْتِهِ ؟ قَالَتْ: كَانَ يَكُونُ فِي مِهْنَةِ أَهْلِهِ - تَعْنِي خِدْمَةَ أَهْلِهِ - فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلَاةُ خَرَجَ إِلَى الصَّلَاةِ

Yang bermaksud: “Aku bertanya kepada Aisyah r.a. “Apakah yang dilakukan Rasulullah (s.a.w) di dalam rumahnya? Aisyah menjawab, “Baginda selalu membantu pekerjaan isterinya dan apabila tiba waktu solat, Baginda keluar menunaikan solat.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Begitulah kehidupan Nabi (s.a.w). Walau sesibuk bagaimana sekalipun, Baginda tetap memberi masa yang secukupnya untuk ahli keluarga Baginda.

Saudaraku,

Dalam membicarakan berkaitan soal rumahtangga, saya rasa di sini perlu untuk ditegaskan satu aspek yang amat penting. Lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan cabaran dalam rumahtangga.

 

Kerana rumahtangga itu adalah satu perjalanan bersama. Kadangkala masalah kehidupan itu datang menimpa. Mungkin isu kewangan yang semakin meruncing. Kemungkinan juga isu pembelajaran anak-anak, dan sebagainya.

 

Ketika itu, mungkin bagi sebahagian individu amat sukar untuk dirinya membayangkan perasaan mawaddah dan rahmah. Ketika ujian datang melanda, pada saat dan detik itu saudaraku sekalian, seharusnya kita sentiasa ingat kepada panduan agama. Kerana pertalian pernikahan antara suami dan isteri, terjalin dengan kalimah Allah (s.w.t). Ia merupakan satu ikatan yang suci.

 

Kerana Islam mengajar kita bagaimana kedua-dua pasangan itu saling lengkap melengkapi antara satu dengan yang lain. Dan jangan kita mengharapkan kesempurnaan. Kerana hatta diri kita sendiripun banyak lagi kekurangannya. Di sinilah kekuatan sebenar kita diuji. Kekuatan pada hati dan akhlak kita. Kesabaran dan kesediaan untuk memaafkan, sebagaimana kita juga mengharapkan orang lain untuk sabar dan memaafkan kita.

 

Ingat saudaraku, Allah (s.w.t) mengajar kita ketika berhadapan dengan persengketaan dalam rumahtangga, untuk tidak melupakan kebaikan pasangan kita. Firman-Nya yang bermaksud: “...Dan janganlah pula kamu lupa kebaikan di antara kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan. (Surah Al-Baqarah: 237).

 

Hikmah di sebalik panduan al-Quran ini adalah untuk mendorong setiap umat untuk sentiasa berfikiran positif ketika berhadapan dengan cabaran kehidupan. Kerana apabila seseorang itu memiliki pemikiran yang positif, kemudian disusuli dengan perancangan teliti, di situ insyaAllah bakal dipertemukan jalan keluarnya.

 

Saudara dan Saudari,

Cabaran kehidupan rumahtangga sekarang ini juga memiliki pelbagai jenis dan bentuknya. Dengan cabaran kehidupan, membesarkan anak-anak, dan sebagainya. Pada waktu yang sama, ramai kalangan isteri hari ini yang turut sama-sama membantu suami dengan keluar bekerja dan mempunyai kerjaya sendiri. Mereka turut sama bekerja dan memastikan segala keperluan keluarga itu dipenuhi.

Ia merupakan suatu sumbangan berharga yang amat diperlukan masyarakat. Akan tetapi saudaraku, setiap suami perlu memahami bahawa amanah dan tanggungjawab mengurus rumahtangga itu perlu juga dibahagikan sama rata, terutama apabila isteri juga turut bekerja. Setentunya bantuan dan sokongan tambahan diperlukan untuk menjaga anak-anak serta pembelajaran mereka, mengurus rumahtangga dan sebagainya.

Justeru, ia memerlukan kepada perbincangan dan persefahaman antara kedua-dua pihak.

Semoga Allah (s.w.t) mengurniakan kita keluarga yang penuh dengan Mawaddah dan Rahmah, yang memenuhi seluruh keperluan iman, takwa dan akhlak yang mulia. Amin Ya Rabbal Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.