collections khutbah Muhasabah dan Harapan di Akhir Ramadan
Muhasabah dan Harapan di Akhir Ramadan

'

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

20 Mac 2026 / 30 Ramadan 1447H

Muhasabah dan Harapan di Akhir Ramadan

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Marilah kita terus memperkukuhkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Laksanakan segala perintah-Nya dan jauhi segala tegahan-Nya. Tumpukan perhatian kita kepada Allah, terutama pada hari penutup Ramadan ini. Semoga Allah s.w.t. menerima puasa, solat, tilawah dan ibadat kita yang lainnya. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Ramadan kian melabuhkan tirainya. Hanya berbaki beberapa jam sebelum ia meninggalkan kita. Bagi yang telah bertungkus lumus melakukan amal soleh sepanjang bulan ini, teruskanlah; isilah penghujung Ramadan ini dengan semangat yang sama.

Bagi yang masih rasa ketinggalan dalam amalannya pula, janganlah berputus asa; masih terdapat sedikit masa untuk mempercantikkan amalan kita.

Bukankah junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. pernah berpesan, dalam sepotong hadis riwayat Imam Al-Bukhari, bahawa setiap amalan bergantung kepada penutupnya?

Saudara sekalian,

Alhamdulillah, ibadah puasa Ramadan selama sebulan hampir kita sempurnakan. Ramai di kalangan kita telah mendirikan solat malam, membaca Al-Quran, memperbanyakkan doa, membayar zakat, bersedekah dan sebagainya. Di penghujung Ramadan ini, ada yang mungkin bertanya: Apa lagi amalan yang boleh dilakukan?

Di sini, mimbar ingin mengajak kita semua untuk memikirkan dan menilai semula prestasi amalan kita sepanjang bulan Ramadan ini. Diriwayatkan bahawa di kalangan orang soleh, apabila mereka selesai beramal, kerisauan datang menyelebungi mereka, adakah amalan mereka diterima oleh Allah s.w.t.?

Oleh itu, sejauh manakah kita yakin bahawa amalan yang telah kita usahakan sepanjang Ramadan layak diterima Allah? Andai kita tidak berpeluang bertemu dengan bulan Ramadan pada tahun hadapan, cukupkah amalan kita sejauh ini sebagai bekalan?

Saudara yang saya kasihi,

Mimbar sama sekali tidak bertujuan memperkecilkan ibadah yang telah dilakukan. Mimbar sekadar mengajak kita semua memanfaatkan Ramadan yang berbaki ini dengan sebaiknya. Antara perkara yang seharusnya menjadi matlamat seorang Mukmin pada bulan ini adalah untuk mendapatkan pengampunan Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: ”Rugilah seseorang yang bertemu bulan Ramadan, kemudian Ramadan berlalu sedangkan dia belum diampunkan.” (Riwayat At-Tirmizi)

Oleh itu, walaupun Al-Quran mungkin sudah selesai kita khatamkan, peluang untuk solat tarawih pula sudah tertutup, masa juga semakin mencemburui keberadaan kita dalam bulan Ramadan, namun satu pintu amalan masih lagi terbuka luas bagi sesiapa yang sedia menggunakannya – iaitu pintu doa. Ya tuan-tuan, berdoa memohon rahmat dan keampunan Allah s.w.t.

Begitu besar peranan doa buat seorang Mukmin. Allah s.w.t. telah berfirman dalam Surah Al-Furqan, ayat 77:

Yang bermaksud: ”Katakanlah: ’Tuhanku tidak akan mengendahkan kamu, kalau bukan kerana doa ibadatmu. Namun kamu (wahai orang Musyrik) telah mendustakan-Nya, maka kelak balasan azab pasti menimpamu.’"

Dengan itu saudaraku, walaupun kita berada di saat-saat akhir bulan Ramadan, dan kemuncaknya iaitu Lailatulqadar telah pun berlalu, ayuh kita menggunakan masa yang berbaki dengan sebaiknya, meminta dan memohon kepada Allah supaya amalan kita diterima dan agar kita diberikan pengampunan.

Manakala Al-Imam Hasan Al-Basri pernah berpesan: ”Banyakkan beristighfar, kerana kamu tak tahu bilakah saat rahmat diturunkan.” Kemungkinan sahaja, dan Allah yang Maha Mengetahui, dalam banyak amalan kita sepanjang bulan Ramadan ini, ibadah yang paling tulus, yang paling terkesan di dalam jiwa, dan yang paling bernilai di sisi Allah, adalah doa yang kita terus panjatkan di penghujung bulan Ramadan ini.

Ya Allah ya Tuhan kami,

Di sini kami menundukkan hati dan menadahkan harapan, dengan amalan kami yang serba sederhana, dengan segala kekurangan kami yang tidak terkira, kami memohon kemurahan-Mu, agar Engkau menerima amalan kami, puasa kami, solat kami, ibadah kami, kerana Engkaulah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Ya Allah ya Tuhan kami,

Terlalu banyak nikmat yang telah Engkau kurniakan kepada kami. Terlalu banyak peluang yang telah Engkau anugerahkan kepada Kami. Namun pada masa yang sama, masih terlalu sedikit kesyukuran kami terhadap-Mu ya Allah. Masih terlalu banyak dosa dan kesalahan kami terhadap-Mu. Masih terlalu kerap kami ingkar terhadap perintah-Mu. Maka dengan itu ya Allah, Engkau perbaikilah keadaan kami. Perbaiki urusan agama kami. Perbaiki urusan dunia kami. Dan perbaikilah juga urusan akhirat kami di hadapan keagungan dan pengadilan-Mu nanti.

Ya Allah ya Tuhan kami,

Hanya kepada-Mu kami memohon. Hanya kepada-Mu kami meminta bantuan dan pertolongan. Kalau bukan rahmat-Mu yang kami pinta, rahmat siapa lagi yang dapat membantu kami Ya Allah. Kalau bukan keampunan-Mu yang kami harapkan, keampunan siapa lagi yang dapat menghapuskan dosa dan keterlanjuran kami ya Allah. Kalau bukan pada bulan Ramadan, bulan keampunan ini, Engkau mengampunkan dosa kami, bila lagi akan kami peroleh peluang untuk membersihkan kitab catatan amalan kami ya Allah.

Rahmatilah kami ya Allah. Rahmatilah kedua orang tua kami.

Rahmatilah anak-anak serta keluarga kami. Rahmatilah setiap hamba-Mu yang meletakkan harapan kepada-Mu Ya Allah.

Khutbah Kedua