collections khutbah Panduan Iman Dalam Menghadapi Tekanan
Panduan Iman Dalam Menghadapi Tekanan

Majlis Ugama Islam Singapura 

Khutbah Jumaat 

1 Ogos 2025 / 7 Safar 447H

Panduan Iman Dalam Menghadapi Tekanan

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,  

Suburkanlah hati kita dengan sifat takwa. Ketakwaan yang membuahkan kecintaan Allah ke atas kita, dan terhindarnya kita daripada kemurkaan-Nya. Semoga kita dikurniakan kelapangan hati dan ketetapan iman dalam mengharungi liku-liku kehidupan. 

 

Sidang jemaah yang dikasihi Allah, 

Bolehkah seorang mukmin mengalami tekanan dan keresahan (stres)? Jika ini berlaku, adakah ia menandakan kelemahan iman? Untuk menjawab soalan ini, ayuh kita mengambil iktibar daripada kisah ibunda Nabi Isa a.s., iaitu Maryam a.s. 

Di dalam Al-Quran, Allah s.w.t. menggambarkan Maryam a.s. sebagai wanita yang tinggi martabatnya, disebabkan pengabdiannya kepada Allah. Beliau dipilih, disucikan, dan dimuliakan, lebih daripada seluruh wanita di seluruh alam. 

Namun, kisah Maryam a.s. tidak sunyi daripada ujian yang menghimpit jiwa. Beliau sarat mengandung tanpa sosok suami, kemudian melahirkan seorang bayi lelaki, sementara dihujani cemuhan masyarakat yang mengguris hati. Sehinggakan, keluhannya dirakamkan di dalam Surah Maryam, ayat ke-23: 

Yang bermaksud: "(Ketika ia hendak bersalin) Maka kesakitan untuk melahirkan itu memaksanya bersandar pada pangkal sebatang pohon kurma, lalu ia berkata: 'Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini, dan aku menjadi sesuatu yang dilupakan.'"

 

Sidang hadirin sekalian,

Kisah Maryam a.s. menunjukkan kepada kita bahawa tekanan dan keresahan adalah lumrah dalam kehidupan insan. Setiap manusia akan mengalaminya, dan ia bukanlah tanda kelemahan iman

Setiap cabaran menguji bagaimana kita mengurus dan mengatasi tekanan, dengan berpaksikan iman. Sebagai mukmin, selain menjadi kewajiban individu, kita wajar melihat ini sebagai fardu kifayah. Yakni, kita saling membantu saudara kita mengatasi tekanan

 

Saudaraku,  

Kehidupan kita hari ini penuh dengan cabaran yang boleh mengundang tekanan. Antara lain, gaya hidup yang dipengaruhi anasir yang pelbagai, sehingga menimbulkan kecelaruan identiti dan agama, khususnya di kalangan anak muda. Begitu juga, persoalan nafkah dan kos sara hidup yang tinggi, terutama bagi mereka yang bergelar ibu bapa tunggal. Ketidakstabilan politik dunia yang menjejaskan ekonomi dan menyebabkan ramai hilang pekerjaan. Hal ini menimbulkan tekanan mental kepada mereka yang terkesan. 

Tren ini menyebabkan sebahagian saudara kita, mencari jalan yang mereka anggap dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi. Kadangkala, jalan yang dipilih boleh memburukkan keadaan. 

Sebagai contoh, menjadi perbincangan hari ini, hasil kajian yang menunjukkan kaitan yang jelas antara gejala penggunaan vape dengan peningkatan kadar tekanan yang kronik, dan kemerosotan tahap kesihatan mental. Seseorang yang menghadapi tekanan mungkin memilih untuk merokok atau menggunakan vape, malah Kpod, untuk mengurangkan atau menghilangkan tekanan tersebut.  Namun, ia mungkin sahaja terjebak kepada masalah tekanan dan stres yang lebih buruk, yang memudaratkan kesihatan mental dan fizikal. 

Saudara, apa sahaja bentuk ujian dan tekanan yang dihadapi, sokongan keluarga dan mereka di sekeliling amat penting. Ia menuntut kepekaan dan tindakan bersama, sebagai tanda amanah dan ihsan. Kita tidak boleh membiarkan mereka yang sedang diuji, keseorangan dalam mengatasi ujian

Maka apakah pengajaran daripada kisah Maryam a.s. yang boleh kita terapkan dalam menghadapi ujian? 

Pertama: Di sebalik kesusahan, pasti ada hikmah dan pengajaran. 

Ujian kehidupan pasti ada pengajarannya, walaupun kita belum memahaminya. Seperti Maryam a.s., sebuah ujian boleh berubah menjadi pengalaman yang membentuk peribadi, malah menjadi legasi. Misalnya, ada di kalangan bekas banduan yang kini bangkit dan membantu mereka yang masih terperangkap dalam kancah yang sama. Dengan berbekalkan sifat cekal dan ikhlas, kegelapan dan kepayahan yang dilalui hari ini, boleh menjadi penyuluh bagi diri dan orang lain di masa hadapan. 

Kedua: Hulurkan dan dapatkan sokongan. 

Benar, sebagai mukmin, kerohanian kita adalah sumber kekuatan dan benteng pertama. Namun, kerap kali, tekanan memerlukan pendekatan menyeluruh, termasuk aspek fizikal, emosi, psikologi, dan sosial.  

Rasulullah s.a.w. sendiri mencari ketenangan di sisi Sayyidatina Khadijah r.a. ketika dibelenggu kegusaran. Cuba bayangkan, sekiranya Maryam a.s. mendapat sentuhan kasih dan sokongan daripada masyarakat sekeliling, tidakkah yang demikian boleh mengurangkan tekanannya

Oleh itu, penting untuk kita mencari, dan menjadi, sumber sokongan. Dapatkan bantuan profesional. Jangan biarkan seseorang menghadapi tekanan secara bersendirian. 

 

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Kita perlu membina masyarakat yang peduli dan menyantuni. Masyarakat yang mendengar sebelum menasihati. Yang menekankan aspek rohani, namun juga bersedia menggunakan pendekatan menyeluruh, disulami empati. 

Semoga kita dapat meneladani kekuatan Maryam a.s. dalam mengatasi tekanandan kepayahan. Semoga kita juga tergolong di kalangan mereka yang menyebarkan harapan, menitip kekuatan, agar kita juga sentiasa mendapat rahmat dan bantuan Tuhan. Amin, ya Rahman ya Rahim. 

 

         

Khutbah Kedua