

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
17 April 2026 / 28 Syawal 1447H
Pengajaran Daripada Tradisi Ilmu Islam

Zumratal mukminin rahimakumullah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t., melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga ketakwaan yang kita bawa pada hari ini dikurniakan keredaan-Nya apabila kita berdiri di hadapan-Nya di akhirat kelak. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Kita sedang hidup dalam satu zaman di mana perubahan, yang didorong oleh kemajuan sains dan teknologi, berlaku dengan begitu pantas, sehingga mengubah gaya hidup dan penghayatan agama kita dengan cara yang tidak pernah terbayang. Saudara-saudara sekalian, perubahan ini akan terus berlaku. Seiring dengan kemajuan ini, timbul cabaran-cabaran agama yang semakin kompleks; cabaran yang menuntut penguasaan ilmu yang mendalam.
Dalam mencari panduan untuk menghadapi kerumitan masa kini, kita perlu meneliti tradisi keilmuan Islam. Tradisi ini telah melahirkan tokoh-tokoh hebat seperti Al-Khawarizmi, Ibn Sina, dan Al-Biruni, serta ramai lagi yang telah menyumbang dalam bidang matematik, perubatan dan astronomi yang masih dimanfaatkan hingga ke hari ini. Kesan yang berkekalan ini mengajak kita untuk muhasabah bagaimana kecemerlangan tersebut dapat dicapai.
Saudara-saudara yang dirahmati Allah,
Terdapat banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripada tradisi keilmuan Islam dan para ilmuwan yang dilahirkannya.
Dari pengajaran ini, kita akan memberi tumpuan kepada tiga perkara yang amat penting.
Pertama: Menuntut ilmu memperkasa insan
Ilmu membekalkan kita dengan kefahaman dan hikmah untuk mengharungi kehidupan serta cabarannya. Malah, hari ini, penemuan dan naratif baharu sentiasa mencabar persepsi dan pendirian kita terhadap beberapa isu agama. Oleh itu, menuntut ilmu yang sahih telah menjadi fardhu ‘ain; kewajipan individu bagi setiap daripada kita.
Seruan ini amat penting khususnya bagi golongan muda yang mempunyai tenaga dan semangat untuk menimba ilmu. Pada masa yang sama, bagi mereka yang mungkin tidak lagi memiliki tenaga seperti dahulu, kita diingatkan bahawa walaupun tenaga mungkin berkurangan, masa untuk menimba ilmu masih tersedia selagi hayat dikandung badan.
Allah s.w.t. berfirman dalam Surah al-Mujadilah, ayat 11 yang bermaksud: “...Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.” Selagi masih ada peluang, marilah kita berusaha menuntut ilmu agar kita dapat memahami dan mengamalkan agama Allah dengan lebih baik serta meningkatkan darjat kita di sisi-Nya.
Kedua: Ilmu mesti disertai dengan etika, keikhlasan dan kerendahan diri
Dalam Islam, ilmu dan akhlak tidak dapat dipisahkan. Tidak cukup sekadar mengetahui banyak perkara. Ilmu yang sebenar ialah ilmu yang membentuk etika kita, memperbaiki tingkah laku kita dan membimbing cara kita berinteraksi dengan orang lain.
Selebihnya, ilmu mesti disertai dengan keikhlasan; melakukan apa yang benar bukan untuk dipuji manusia, tetapi semata-mata kerana Allah. Apabila ilmu dan keikhlasan berjalan seiring, ketika itulah kita benar-benar mula berkembang.
Tanpa nilai-nilai ini, ilmu akan kehilangan tujuannya dan bahkan boleh menjadi mudarat. Apabila ilmu terpisah daripada keikhlasan dan kerendahan diri, ia boleh membawa kepada sifat sombong, mementingkan diri, dan penyalahgunaan ilmu untuk meraih kepentingan atau agenda peribadi.
Kita perlu sedar yang walaupun ilmu boleh membawa manfaat duniawi termasuk ganjaran kewangan, semua itu hanyalah manfaat sampingan. Jika ia dijadikan tujuan utama, ketahuilah ia mencerminkan niat yang terpesong dan boleh menjejas pertimbangan etika. Apa yang sepatutnya menjadi sumber ilmu dan panduan boleh bertukar menjadi sumber kekeliruan dan perpecahan. Sebab itulah Islam mengaitkan ilmu dengan khasyah; rasa takut dan kagum kepada Allah.
Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Fatir, ayat 28:

Yang bermaksud: “...Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun.”
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Ayat ini mengingatkan kita untuk memastikan agar usaha menuntut ilmu perlu berlandaskan kesedaran kepada Allah dan keikhlasan kerana-Nya. Para ulama terdahulu mencontohi perkara ini. Pencarian ilmu yang luas diiringi dengan keikhlasan yang mendalam, kerendahan hati, rasa takut kepada Allah dan tanggungjawab terhadap masyarakat. Mereka tidak menuntut ilmu untuk mencapai kedudukan, tetapi untuk mencapai keredaan Allah dan memberi manfaat kepada orang lain. Keseimbangan inilah yang menjadikan ilmu mereka berkesan, berkekalan dan berkat.
Oleh itu, dalam usaha kita menuntut ilmu, kita perlu sentiasa ingat bahawa nilai sebenar ilmu terletak pada bagaimana ia memperbaiki akhlak kita dan menguatkan hubungan kita dengan Allah s.w.t. Ilmu tanpa etika adalah tidak sempurna.
Namun ilmu yang berteraskan keikhlasan, kerendahan diri dan akhlak yang baik akan menjadi cahaya yang membimbing bukan sahaja diri kita, bahkan orang-orang di sekeliling kita juga.
Ketiga: Ilmu mesti dihayati dan diwariskan
Ilmu dalam Islam bukan sekadar untuk diketahui, tetapi untuk dihayati melalui amalan dan akhlak. Apabila seseorang mengamalkan ilmunya dengan keikhlasan, ilmu itu menjadi sesuatu yang nyata, bermakna dan membawa perubahan.
Melalui penghayatan ilmulah, ia meresap ke dalam hati dan diberi kehidupan.
Ini juga merupakan cara yang paling berkesan untuk mewariskan ilmu. Sebelum ia disampaikan melalui kata-kata, perbuatan serta kelakuan kita perlu dititikberatkan terlebih dahulu. Mengamalkan nilai baik secara konsisten, keimanan serta akhlak yang mulia meninggalkan kesan yang lebih mendalam dan berkekalan berbanding dengan sekadar pengajaran lisan. Inilah sebabnya penyampaian ilmu yang paling berkesan adalah apabila ia diterapkan dalam kehidupan.
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita berusaha menjadi golongan yang ilmunya menghasilkan keikhlasan, kerendahan diri dan amal soleh.
Semoga ilmu kita mendekatkan kita kepada Allah, menambah rasa takut dan cinta kita kepada-Nya, memperbaiki akhlak kita, serta menyumbang kepada kebaikan masyarakat. Semoga Allah s.w.t. menjadikan kita dalam kalangan mereka yang mengamalkan ilmu yang telah dipelajari. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua

