collections khutbah Pertimbangan Konteks dalam Pengeluaran Hukum Syarak 
Pertimbangan Konteks dalam Pengeluaran Hukum Syarak 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

3  Februari 2023 / 12 Rejab 1444H

Pertimbangan Konteks dalam Pengeluaran Hukum Syarak 

 

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah (s.w.t) dengan sebenar-benar ketakwaan. Iaitu dengan mematuhi segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah mengurniakan kepada kita kefahaman yang tepat akan urusan agama ini. Amin. 

Saudara dan saudari,

Marilah kita mengambil kesempatan ini untuk membuat refleksi. Saudaraku, setiap kali melakukan sesuatu perkara, pastinya kita akan mengambil kira keperluan dan situasi kita pada saat itu. Sebagai contoh, sekiranya kita bakal bermusafir ke negara jauh, kita akan membuat persiapan yang mencukupi bagi perjalanan tersebut. Seperti membawa baju-baju, ubat-ubatan, duit dan sebagainya. Semakin jauh perjalanan, semakin banyak persiapan yang perlu dilakukan. Juga mengikuti cuaca serta kondisi negara yang bakal kita kunjungi tersebut.

Itulah gambaran umum bagi konteks. Konteks itu mengambil kira suasana serta lingkungan. Serta keperluan, sama ada keperluan peribadi juga masyarakat setempat.

Di sini perlu untuk kita memahami kepentingan konteks dalam urusan agama. Kerana dengan merujuk kepada pelbagai hadis, kita akan mendapati bagaimana kadangkala Nabi )s.a.w.( menyesuaikan jawapan yang diberikan, mengikuti keperluan serta keadaan individu yang bertanya. 

Sebagai contoh, ada yang pernah bertanya kepada Nabi (s.a.w) akan amalan yang terbaik di dalam Islam. Baginda menjawab, beriman kepada Allah. Pada situasi yang lain, Baginda menjawab untuk sentiasa berzikir mengingati Allah. Dan ada juga Nabi menjawab solat pada waktunya. 

Jawapan-jawapan yang berbeza tidaklah bererti bahawa Nabi Muhammad (s.a.w) lupa atau keliru dengan jawapan yang telah Baginda berikan. Akan tetapi, Imam Syatibi mengatakan bahawa perbezaan pada jawapan-jawapan itu adalah kerana Baginda menyesuaikan jawapan dengan keadaan individu pada masa dan ketika itu. 

Saudara dan saudari,

Begitulah keindahan Islam. Ia bukanlah hanya sekumpulan hukum-hakam yang tidak langsung mengambil kira keperluan dan keadaan masyarakat serta individu. Pada waktu yang sama, agama juga bukannya digubal demi menuruti segala kehendak dan keinginan peribadi dengan sewenang-wenangnya. Akan tetapi terdapat padanya keseimbangan.

Apa yang hukumnya wajib, seperti rukun Islam, sehingga ke akhir zaman tidak akan berubah. Pada waktu yang sama, terdapat pula hukum-hakam yang mengambil kira budaya serta kebiasaan masyarakat, ataupun ia berdasarkan kepada ijtihad ulama. Maka hukum yang sedemikian boleh berubah, menuruti perbezaan ijtihad serta keperluan.

Saudaraku,

Pentingnya kita memahami isu ini dengan tepat, kerana penggubalan fatwa tidak cukup dengan hanya dengan mengambil potongan ayat-ayat suci Al-Quran mahupun hadis-hadis semata-mata. Ia tidak juga cukup dengan menukil pendapat-pendapat daripada kitab-kitab lama ataupun daripada lelaman internet yang pelbagai. 

Kerana pendapat fatwa merupakan pendapat yang dikeluarkan sebagai huraian bagi isu yang dihadapi masyarakat. Dari itu ia akan berusaha untuk memberi huraian bagi masyarakat. Oleh kerana itu, fatwa yang sesuai dengan negara-negara jiran sebagai contoh, mungkin tidak sesuai diaplikasikan di Singapura. 

Ketahuilah perbezaan ini adalah kerana agama Islam ini memahami keadaan, serta keperluan ummatnya. Setiap fatwa yang dikeluarkan itu perlu mengambil kira konteks dan realiti, serta kemampuan untuk meraikan keadaan yang berbezadan memikirkan kesan daripada pengeluaran fatwa tersebut.


Renungkanlah firman Allah (s.w.t) di dalam surah At-Taghabun ayat ke 16:

Yang bermaksud: “Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu; dan dengarlah serta taatlah; dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”

Allah (s.w.t) perintahkan kepada hamba-hamba-Nya untuk bertakwa kepada-Nya. Dimana erti takwa itu adalah untuk menunaikan segala yang diperintahkan oleh Allah (s.w.t) dan menjauhi segala larangan-Nya. Namun Allah (s.w.t) menyusuli perintah tersebut dengan lafaz ‘مَا ٱسْتَطَعْتُمْ’ yang membawa maksud “sedaya mampu kamu”. Ia memberi gambaran kepada kita bahawa terdapat situasi di mana agama ini mengambil kira keterbatasan serta kemampuan individu.

Saudara dan saudari,

Memahami konteks itu bukan hanya terbatas kepada memahami keperluan individu serta masyarakat. Akan tetapi termasuk juga dalam kita memahami teks-teks agama daripada Al-Quran dan hadis Rasulullah (s.a.w.) Apakah yang dimaksudkan sesuatu teks agama? Apakah latar belakangnya? Apakah ayat-ayat yang berkaitannya?

Dengan memahami konteks dan latar belakangnya, ia mampu memberikan kepada kita gambaran lebih tepat tentang maksud teks agama tersebut. Bahkan, jika kita gagal memahami latar belakang sesuatu ayat ataupun hadis, maka dikhuatiri kita akan menggunakannya sebagai dasar untuk perbuatan yang tidak dimaksudkannya atau lebih teruk lagi bertentangan dengannya. Kerana teks-teks agama seperti Al-Quran dan hadis, terbuka kepada tafsiran dan pemahaman yang pelbagai. Maka, segala pentafsiran tersebut perlu berdasarkan ilmu pengetahuan.

Semoga kita dapat menjadi umat islam yang mendirikan syariat Islam dengan sebenar-benarnya. Dan dikurniakan kefahaman akan agama ini. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.