collections khutbah Puasa Mendisiplinkan Jiwa
Puasa Mendisiplinkan Jiwa

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

24 Mac 2023 / 2 Ramadan 1444H


Puasa Mendisiplinkan Jiwa

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah (s.w.t) dengan sebenar-benar ketakwaan. Iaitu dengan memenuhi segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dapat kita meraih pengampunan-Nya pada bulan yang penuh keberkatan ini. Amin

Saudaraku,

Alhamdulillah. Mari sama-sama kita mengungkapkan lafaz kesyukuran kita kepada Allah (s.w.t). Sebagai tanda kesyukuran kita kerana dapat bertemu kembali bersama-sama pada bulan Ramadan ini. Semoga dapat kita menggapai matlamat yang sebenar kita menyambut bulan Ramadan. 

Allah (s.w.t) berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 183, 

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

Perintah berpuasa diturunkan kepada kita hanya untuk satu matlamat. Iaitu ia bertujuan untuk membina ketakwaan dalam diri. Ketakwaan yang menyuluruh. Sehingga merangkumi setiap perbuatan kita baik yang zahir mahupun amalan yang batin, seperti niat yang baik.

Saudaraku,

Perhatikan diri kita sendiri. Renungkan setiap perbuatan yang kita lakukan pada bulan yang mulia ini. Kita lebih berhati-hati dalam pertuturan serta tingkah laku kita. Kita berusaha sebaik mungkin untuk melawan tabiat-tabiat yang sememangnya buruk demi menjaga kesucian serta kesempurnaan puasa kita. Kerana kita tahu akan keistimewaan serta besarnya ganjaran bagi orang-orang yang berpuasa. Dalam erti kata lain, kerana berpuasalah diri kita ini terselamat daripada keburukan yang sering kita lakukan. 

Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam kitab hadis Muwatta’. Rasulullah (s.a.w) bersabda:

‏الصِّيَامُ جُنَّةٌ فَإِذَا كَانَ أَحَدُكُمْ صَائِمًا فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَجْهَلْ فَإِنِ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ إِنِّي صَائِمٌ

Yang bermaksud, “Puasa itu perisai, jika salah seorang dari kamu berpuasa, hendaklah dia tidak berkata kotor dan tidak berperilaku buruk. Jika seseorang memeranginya atau menghinanya hendaklah dia berkata; 'Aku sedang berpuasa, aku sedang berpuasa”.

Daripada hadis ini, kita boleh memahami bahawa ibadah berpuasa itu merupakan ibadah yang melindungi diri kita daripada melakukan keburukan atau maksiat. Kerana perkara-perkara tersebut akan merosakkan puasa kita dan mengakibatkan kerugian kepada diri kita sendiri.

Puasa merupakan perisai yang melindungi diri kita daripada api neraka. Maka jangan mensia-siakan bulan yang suci ini. Kawal diri kita sendiri daripada merosakkan ibadah kita. Elakkan daripada melalukan maksiat atau keburukan. Bahkan bukan sahaja pada bulan Ramadan, tetapi jadikan bulan Ramadan ini sebagai pembakar semangat untuk menerapkan kebaikan sepanjang kehidupan. 

Saudaraku,

Berpuasa mendidik diri kita untuk mengawal nafsu kita. Sedar atau tidak, sebenarnya dengan berpuasa ia mengajar kita untuk tidak berlebih-lebihan. Di Singapura secara khususnya, kita berpuasa lebih daripada 12 jam. Akan tetapi kehidupan seharian kita tidak terjejas. Kita teruskan berkerja dan kita juga tetap teruskan pergi sekolah untuk menuntut ilmu. Ini menunjukkan bahawa diri kita mampu dan boleh untuk tidak berlebih-lebihan.

Dan seharusnya kita mengambil pengajaran daripada ibadah kita ini. Tinggalkan berlebih-lebihan dan hanya mengambil kadar yang diperlukan sahaja. Seperti contoh, pada waktu berbuka puasa. Elakkan daripada berlebih-lebihan kerana takut berlakunya pembaziran. Dan pembaziran bukanlah daripada tuntutan agama. Janganlah kita berubah hanya pada bulan Ramadan semata-mata, akan tetapi jadikanlah bulan Ramadan ini sebagai madrasah yang mendidik hawa nafsu kita untuk sentiasa mengejar kebaikan. 

Begitulah tanda-tanda mereka yang berjaya mendapat keberkatan bulan Ramadan. Kebaikan yang dilakukan tidak terhenti saat berakhir bulan itu, akan tetapi kebaikan yang menyeluruh itu tetap terus dipraktikkan dalam urusan seharian. 

Semoga kita menjadi hamba-hamba-Nya dapat melakukan ibadah berpuasa kita dengan sempurna dan dapat mengecapi matlamat sebenar ibadah tersebut dan dapat meraih kebahagiaan ketika bertemu dengan Tuhan sekalian alam. Amin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم