collections khutbah Ramadan Bulan Pengukuhan Jiwa dan Amalan
Ramadan Bulan Pengukuhan Jiwa dan Amalan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

9 April 2021 / 26 Syaaban 1442H

Ramadan Bulan Pengukuhan Jiwa dan Amalan

الحَمدُ لِلّهِ الَّذِي بَسَطَ لِعِبَادِهِ عَطَايَا وَهَدَايَا لاَ تُعَدُّ. وَأَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا محمدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعدُ، فَيَا أَيُّهَا الـمُسلِمُونَ، أُوصِيكُم وَنَفسِي بِتَقوَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، فَقَد فَازَ الـمُتَّقُونَ.

 Saudaraku yang dirahmati Allah,

Dalam beberapa hari lagi kita akan menyambut kedatangan bulan Ramadan. Bulan di mana rahmah Tuhan mengalir deras serta pengampunan-Nya yang tiada bertepi. Maka marilah kita perkukuhkan ketakwaan kita pada hari ini, serta memperbaharui azam kita untuk menjadikan Ramadan kali ini yang paling bermakna dalam apa jua keadaan. Semoga Allah mengabulkan permohonan kita ini. Amin.

Saudaraku,

Bulan Ramadan dikenali sebagai bulan al-Quran kerana turunnya ke atas Baginda Nabi Muhammad (s.a.w.). Dan dalam suasana kita hari ini, adalah amat sesuai untuk kita mengenang bagaimana Allah menyiapkan diri Nabi (s.a.w.)  menerima wahyu ilahi yang teragung ini.

Syaikh al-Mubarakfuri meriwayatkan bahawa Nabi (s.a.w.) mula beruzlah beberapa bulan secara istiqamah di gua Hira, sehinggalah pada malam Nuzul al-Quran. Di saat itu, Baginda (s.a.w.) bertemu Malaikat Jibril buat pertama kali lalu menerima 5 ayat pertama daripada Surah al-‘Alaq.

Para ulama menyebutkan bahawa proses bersendirian ini adalah sebahagian daripada aturan Allah (s.w.t.) untuk membolehkan Nabi (s.a.w.) menenangkan jiwanya, bertafakkur jauh daripada hingar-bingar kesibukan dan urusan keduniaan. Ia merupakan proses yang perlu untuk menyediakan jiwa Nabi (s.a.w.) agar kuat dan kukuh serta cukup tenang dan kuat untuk menerima wahyu Allah (s.w.t.).

Saudaraku,

Begitulah hendaknya kita. Marilah kita contohi sikap yang dipaparkan Nabi Muhammad (s.a.w.). Dalam hari-hari mendatang sebelum menyambut Ramadan ini, perlu untuk kita sediakan diri dengan meningkatkan zikir dan bertafakkur serta bermunajat kepada Allah. Proses ini adalah untuk membangkitkan semangat serta membuka tingkap kerohanian yang mungkin telah tertutup buat seketika waktu. Ini kerana disibukkan dengan urusan seharian dunia. Allah befirman dalam Surah al-Baqarah ayat 152:

Yang bermaksud: “Maka ingatilah Aku (Allah) nescaya akan Aku kenangmu dan bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu ingkari-Ku.”

Begitulah saudara, pada saat kita mengingati dan mengenang Allah melalui zikir, ibadah mahupun bertafakkur memikirkan keagungan-Nya, Dia pasti akan mengenang kita. Dan apabila Dia mengenang kita, ketika itulah jiwa kita akan disuburkan dengan keimanan.

Saudaraku,

Alhamdulillah kita bersyukur pada Ramadan ini kita akan dapat berterawih, bertadarus dan berqiyam di rumah-rumah Allah meskipun dengan batasan-batasan tertentu. Tunjukkan rasa syukur kita dengan kita bersama menjaga nikmat ini, tidak menyalahgunakan langkah-langkah keselamatan ini hanya kerana kita ingin ke masjid. Seandainya kita mendapat tempat di masjid bersyukurlah pada Allah dan doakan serta kongsikanlah peluang itu pula dengan saudara-mara kita yang lain.

Ini sesuai dengan sunnah Nabi (s.a.w.) yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa Nabi (s.a.w.) adalah seorang individu yang amat pemurah dan akan berkongsi lebih banyak dan dengan mudah lagi di Ramadan berbanding bulan-bulan yang lain. Maka selain berkongsi harta Ramadan ini, berkongsilah juga peluang untuk ke masjid dengan saudara kita yang lain. InsyaAllah itu merupakan pengorbanan yang menjadi ibadah kita.

Namun saudaraku, seandainya kita tidak mendapatkan tempat janganlah merasa hampa. Anggaplah ia sebagai peluang untuk kita terus memakmurkan rumah kita dengan ibadah bersama dengan keluarga kita. Bukan sahaja kita meraih pahala beribadah tetapi juga pahala memperkukuhkan hubungan dengan keluarga. Bahkan dalam kesunyian kita beribadah di rumah, boleh sahaja ia membantu kita untuk meningkatkan fokus kita kepada Allah. Ini juga adalah nikmat Allah yang mesti disyukuri.

Ingatlah pesan Baginda (s.a.w.) yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim. Antara tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari akhirat nanti adalah, hamba Allah yang beribadah jauh daripada pandangan manusia lain dan dalam keadaan tenang lalu dia menitiskan air mata, sama ada air mata keinsafan, air mata takut mahupun air mata rindu kepada Allah (s.w.t.).

Maka saudara, kita niatkanlah segala usaha kita mengambil langkah-langkah menjaga keselamatan Jemaah di masjid menjadi ibadah kita mengorbankan keinginan kita demi kebaikan ramai. Merintih dan bermunajatlah kepada Allah di rumah-rumah kita Ramadan ini. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi, Nabi (s.a.w.) bersabda bahawa dua mata yang tidak akan disentuh api neraka adalah mata yang menangis kerana takutkan (hilangnya cinta) Allah serta mata yang berjaga di jalan Allah. Kedua-dua ibadah ini boleh dilaksanakan di mana sahaja dan ganjarannya akan tetap sama insyaAllah.

Saudaraku,

Marilah kita mendidik jiwa kita untuk menjadi bukan sahaja seorang Mukmin yang miliki kerohanian yang tinggi, tetapi sikap rahmah dan ihsan terhadap saudara seinsan dan seagama yang lain pada Ramadan ini. Teruskanlah usaha baik kita menjaga keselamatan masyarakat.

Semoga dengan menunjukkan rahmah pada orang lain, Allah mengurniakan kita rahmah-Nya; dengan mensyukuri nikmat Allah, Allah tambahkan nikmat-Nya. Sepertimana kita juga memberi peluang ibadah pada orang lain, Allah menggantikannya dengan peluang menghuni syurga-Nya yang abadi. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

 

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.