Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
8 Ogos 2025 / 14 Safar 1447H
Tanah Air yang Baik, Tuhan yang Pengampun
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah s.w.t. Taati segala perintah-Nya, dan jauhi segala larangan-Nya. Tanamkan sifat syukur dalam hati kita. Semoga dengan ini, Allah s.w.t. memberkati dan meluaskan lagi nikmat-Nya ke atas kita. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Renungkan soalan berikut: Wajarkah kita, sebagai Muslim yang hidup dalam kemajuan dan suasana aman, menolak keselesaan hidup yang kita nikmati ini, semata-mata kerana ingin menjadi Muslim yang baik?
Untuk menjawab soalan ini, ayuh renungkan kisah kaum Saba’ yang Allah ceritakan dalam Surah Saba’, ayat 15:
Yang bermaksud: “Sesungguhnya, bagi kaum Saba’ terdapat tanda (kebesaran Allah) pada kediaman mereka: Dua kebun (yang subur), satu di sebelah kanan dan satu di sebelah kiri.
(Mereka diperintahkan:) ‘Makanlah dari rezeki Tuhanmu dan bersyukurlah kepada-Nya. (Negerimu ini adalah) negeri yang baik, (dan Tuhanmu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun.’”
Allah s.w.t. telah mengurniakan kaum Saba’ negeri yang baik dan aman, dikelilingi kebun yang melimpahkan rezeki dan buahbuahan. Mereka hidup dalam keselesaan, malah dikurniakan banyak kemudahan. Di kala mereka menikmatisemua ini, apakah perintah Allah terhadap mereka? Allah mengingatkan mereka tentang satu perkara – iaitu agar sentiasa bersyukur.
Namun, apakah kesudahan kaum Saba’ ini? Dalam ayat-ayat yang berikut, Allah s.w.t menggambarkan bagaimana mereka telah mengabaikan perintah Allah untuk bersyukur. Maka, keselesaan dan kemudahan yang mereka nikmati bertukar menjadi musibah, tanah yang subur bertukar menjadi tandus, kesenangan menjadi kesusahan, dan kemakmuran menjadi kesengsaraan.
Kisah umat terdahulu, seperti kisah kaum Saba’ ini, pasti ada pengajarannya buat kita. Sama ada kita cakna atau sebaliknya, sehingga mungkin sahaja kita melakukan kesilapan yang sama.
Sebagai Muslim yang hidup dalam suasana yang selesa dan aman, serta menikmati pelbagai kemudahan, apakah yang boleh kita pelajari daripada kisah kaum Saba’ ini?
Kisah kaum Saba’ adalah satu peringatan jelas bahawa kemajuan dan keselesaan duniawi tidak sewajarnya menjauhkan kita daripada kewajipan agama.
Namun, kita juga tidak dituntut untuk mengorbankan kemajuan duniawi untuk menghidupkan agama. Lihat sahaja kisah Saba’ tadi – Allah tidak memerintahkan mereka untuk menolak kemewahan dan kemudahan yang mereka nikmati. Mereka hanya dituntut supaya bersyukur – dengan menggunakan nikmat untuk tujuan kebaikan dan ketaatan, dan tidak melupakan siapakah Pemberinya.
Begitulah juga dengan kelebihan yang kita nikmati. Kita seharusnya dapat menguruskan pelbagai kemudahan yang Allah kurniakan ke arah kebaikan.
Bersyukur bermakna kita menghargai setiap kurniaan Allah. Usaha dan kerja keras yang berterusan, daripada setiap lapisan masyarakat, adalah perlu untuk memelihara nikmat yang Allah berikan. Usah lakukan kesilapan kaum Saba’, yang meminta supaya kemudahan hidup ditarik balik, disebabkan sikap memandang remeh dan bosan terhadap nikmat Allah. Seorang Muslim yang bersyukur akan berusaha mengekalkan nikmat dan kebaikan, demi umat dan generasi akan datang.
Marilah kita mengingatkan diri untuk sentiasa bersyukur atas setiap kurniaan Allah, melalui usaha bersama yang berterusan.
Semoga dengan kesedaran ini, kita dapat mencapai gagasan:
Yakni: “Negeri yang baik, dan Tuhan yang Maha Pengampun”, seperti yang disebut dalam Al-Quran. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Khutbah Kedua