Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
13 Jun 2025 / 16 Zulhijjah 1446H
Tanggungjawab Sebagai Khalifah di Muka Bumi
Sentiasalah bertakwa kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar takwa. Laksanakan segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Perhatikan keadaan iman dan hati kita, serta keikhlasan hubungan kita dengan-Nya. Semoga ia menghidupkan semula kesedaran akan beratnya tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Ar-Rum, ayat 41:
Yang bermaksud: “Telah timbul kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia sendiri, agar (Allah) merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka (sendiri), agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”
Lebih 1400 tahun yang lalu, Allah s.w.t. telah memberi amaran kepada kita bahawa kemusnahan yang berlaku di muka bumi ini adalah akibat perbuatan manusia. Pernahkah kita terfikir betapa seriusnya peringatan dalam ayat ini? Tidakkah ia sepatutnya mendorong kita untuk menilai semula perbuatan kita yang selama ini mungkin menjadi penyumbang kepada kerosakan yang sedang berlaku?
Kita mesti menyedari bahawa pemeliharaan bumi dan alam sekitar
adalah satu kepentingan yang tidak dapat dipisahkan daripada ajaran agama dan kewajipan rohani kita. Fikirkan bagaimana perubahan iklim dan alam sekitar turut memberi kesan kepada ibadah kita. Tahukah anda bahawa pada minggu lalu, sebahagian umat Islam di beberapa tempat tidak dapat melaksanakan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha, disebabkan iklim yang teruk dan kemarau yang menyebabkan kekurangan haiwan ternakan? Bayangkan pula kesan cuaca panas yang keterlaluan ketika ibadah haji dan puasa di bulan Ramadan.
Bahkan, Nabi Muhammad s.a.w. sendiri mengiktiraf keadaan panas yang melampau dan cuaca yang tidak baik sebagai faktor yang boleh memberi kesan kepada ibadah kita. Pada suatu ketika, Baginda s.a.w. memerintahkan agar azan Zuhur dilewatkan. Arahan ini diulang sebanyak tiga kali. Hanya apabila bayang-bayang kelihatan (tanda cuaca panas mula reda), barulah Baginda bersabda: "Sesungguhnya, panas yang terik berasal daripada hembusan api neraka. Maka apabila cuaca menjadi terlalu panas, tangguhkanlah solat sehingga keadaan menjadi lebih dingin.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini adalah amanah yang besar. Kita seharusnya menjadi pemangkin perubahan dan pembaikan, bukan penyumbang ke arah kerosakan. Dalam konteks hari ini, tanggungjawab ini bukan sekadar menjimatkan penggunaan air dan elektrik, atau amalan kitar semula. Kita sepatutnya prihatin atas dua aspek tambahan berikut:
Hari ini, kita semakin bergantung kepada teknologi digital – seperti telefon dan jam pintar, tablet, dan televisyen. Kita menggunakannya untuk berhubung mendapatkan maklumat, dan menguruskan kehidupan seharian dengan lebih mudah – namun kadangkala juga, untuk perkara remeh yang tidak memberi manfaat besar.
Tanpa kita sedari, teknologi ini memerlukan penggunaan tenaga dan sumber semula jadi yang agak besar. Ini termasuk teknologi “kecerdasan buatan” atau “AI”, yang semakin digunakan secara meluas. Kajian menunjukkan bahawa jumlah air dan tenaga yang besar digunakan untuk menyejukkan server AI. Namun begitu, kita kerap menggunakannya tanpa mempedulikan kesan ini. Memang benar, semua ini mempunyai manfaatnya – namun, seringkali, alam sekitar yang menanggung akibatnya.
Sebagai khalifah Allah di bumi, kita perlu lebih peka dan berhemah dalam menggunakan teknologi sebegini. Kita perlu mencari jalan terbaik dalam memanfaatkan teknologi-teknologi ini dengan cara yang paling berhemah. Nilailah semula apa yang benar-benar kita perlukan, dan apa yang kita boleh tinggalkan. Sikap ini bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sebahagian daripada kesempurnaan Islam seseorang ialah (dia) meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat baginya.” (Riwayat At-Tirmizi)
Pembelian yang berlebihan ialah penyakit hati yang terzahir melalui sikap membeli secara berterusan, mengumpul barangan, dan membazir. Hari ini, kita sering dirangsang untuk memiliki sesuatu dengan berlebihan; berlebihan dalam pakaian, peralatan, serta aksesori. Dan setiap kali kita membeli, kita menyumbang kepada peningkatan sisa buangan. Bayangkan sahaja berapa banyak bahan yang digunakan hanya untuk pembungkusan barang yang kita beli.
Sedangkan Islam melarang pembaziran. Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Al-A’raf, ayat 31:
Yang bermaksud: “Wahai anak-anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah setiap kali hendak mengerjakan solat, dan makanlah serta minumlah, tetapi janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang membazir.”
Jadi, bagaimana respons kita? Jawapannya ada dalam tradisi
Islam iaitu melalui amalan zuhud – hidup dengan bersederhana dan berhemah, mengikut kemampuan diri, serta tidak melampau atau membazir. Daripada terus membeli alat atau barangan baharu, marilah kita belajar untuk merasa cukup dengan apa yang masih berfungsi. Baiki dan guna semula sekiranya boleh, dan ganti hanya apabila benar-benar perlu.
Bersamalah kita menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah di
bumi Allah dengan hikmah – dengan memelihara sumber, lebih berhemat dalam penggunaan teknologi, dan menolak budaya pembaziran.
Akhir sekali, marilah kita amalkan doa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. (riwayat Muslim), yang memohon kesejahteraan agama, dunia, dan akhirat kita:
Yang bermaksud: “Ya Allah, perbaikilah untuk kami agama kami yang menjadi pelindung urusan kami, perbaikilah untuk kami dunia kami yang menjadi tempat kehidupan kami, dan perbaikilah untuk kami akhirat kami yang menjadi tempat kembali kami.” Amin, ya Rabbal ‘Alamin
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita menadah tangan ke hadrat Illahi. Dengan hati yang penuh telus. Dengan penuh pengharapan. Agar Allah menerima doa ini. Rintihan daripada seorang hamba yang serba kekurangan. Kepada Tuhan yang Maha Perkasa, yang Maha Mendengar. Doa kita khususnya untuk saudara kita yang terus dihimpit penderitaan dan sengsara di Gaza. Di saat bantuan daripada umat manusia terputus, ayuhlah kita sebagai ‘ibadullah, menghadap Tuhan semesta alam, Tuhan yang lebih berkuasa daripada setiap penguasa, yang lebih perkasa daripada setiap tentera, untuk terus melimpahkan bantuannya kepada mereka.
Ya Allah, Tuhan yang Maha mendengar suara hati hamba-Nya, kurniakanlah kami pengampunan, sesungguhnya kami adalah hamba-hamba-Mu yang sering alpa dan melakukan kesilapan. Ampunilah dosa-dosa kami yang terdahulu dan terkemudian, yang disengajakan mahupun yang tidak disengajakan, yang kecil dan sedikit mahupun yang seluas lautan. Dan janganlah Kau jadikan dosa tersebut menjadi penyebab terhijabnya setiap permintaan.
Wahai Tuhan yang memperkenan permohonan hamba-Nya, pada hari dan saat yang penuh keberkatan ini, kami tunduk dengan insaf dan tawaduk, mengemis secebis rahmat-Mu Ya Rahman, bantulah saudara-saudara kami yang tertindas di setiap tempat, khususnya di Gaza dan Palestin.
Ya Allah Ya Mannan, Kau ringankanlah bebanan mereka, lindungilah mereka dari ancaman kekerasan dan bahaya, sembuhkanlah yang sakit dan terluka, dan kurniakanlah rezekiMu bagi yang lapar dan dahaga.
Ya Latiff Ya Hannan, dakapilah mereka dengan rahmat-Mu, tempatkan mereka dalam kasih sayang-Mu, teguhkan semangat mereka dengan keyakinan pada bantuan-Mu.
Ya Allah Ya Dzal ‘Izzi was-Sultan, gantikan ketakutan mereka dengan keamanan, kesempitan dengan kelapangan, keresahan dengan ketenangan, dan kesedihan dengan kegembiraan.