Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
2 September 2022 / 5 Safar 1444H
Teladan dari kisah Uwais al-Qarni: Menghargai Jasa Ibu Dan Ayah
Muslimin muslimat yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan sebenar-benar ketakwaan, iaitu dengan mematuhi segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga ketakwaan kita ini dapat menjadikan kita anak-anak yang menghargai jasa ibu-ayah kita.
Saudara dan Saudari,
Ingin saya kongsikan kisah tentang seorang anak yang soleh, yang mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Tuhan, sangat menghormati ibunya. Beliau adalah Uwais bin ‘Aamir, atau dikenali sebagai Uwais Al-Qarni (r.a.). Seorang anak yang mengorbankan tenaga untuk menjaga ibunya yang keuzuran dan juga memberikan setinggi-tinggi penghargaan dan keutamaan kepada ibunya. Sehinggakan darjatnya diangkat di sisi Tuhan. Telah diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa Rasulullah (s.a.w.) menyuruh para sahabatnya untuk meminta doa dan pengampunan Allah (s.w.t.) daripada beliau apabila mereka bertemu dengannya kerana doa anak yang soleh seperti Uwais Al-Qarni itu mustajab di sisi Allah (s.w.t.).
Begitulah besarnya ganjaran di sisi Allah bagi anak yang berbakti kepada ibunya.
Saudara dan saudari,
Kasih sayang ibu bapa kepada anak-anak tidak ternilai. Pada saat terlahirnya anak, mulalah pengorbanan kedua orang tua demi membesarkan, mendidik dan menjalankan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka tanpa henti. Begitulah pengorbanan mereka, demi kasih dan sayang kepada anak-anak. Sesungguhnya jasa dan bakti yang telah mereka taburkan untuk anak-anak tidak terhitung dan tidak terbalas.
Peranan kita sebagai anak-anak bukanlah sekadar menerima sahaja tanpa perlu membalas jasa mereka. Lebih-lebih lagi, apabila ibu serta ayah kita sudah lanjut usia, dan anak-anak pula sudah menjejaki alam dewasa, sudah mampu menyara diri, dan sudah mampu membina keluarganya sendiri. Maka menjadi tanggungjawab kita sebagai anak-anak untuk menghargai jasa orang tua dan cuba untuk membalasnya sedaya mungkin.
Allah (s.w.t.) telah berfirman di dalam surah Al-Isra’, ayat 23:
Yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”
Saudara dan Saudari,
Renungkanlah petikan ayat serta makna yang disampaikan.
Allah (s.w.t.) meletakkan kepentingan berlaku ihsan kepada kedua ibu-bapa sejurus selepas perintah untuk beribadah kepada-Nya.
Pada ayat itu terdapat petunjuk daripada Allah (s.w.t.) tentang cara berlaku ihsan kepada orang tua kita. Tambahan pula, Allah (s.w.t.) memberi amaran kepada kita, sebagai anak untuk tidak sesekali melukakan hati ibu dan ayah kita walau dengan lafaz-lafaz atau perilaku yang menyakitkan.
Akan tetapi, santunilah ibu dan ayah kita yang sudah lanjut usia dengan kata-kata penuh kelembutan, dengan kasih sayang, dengan segala kebaikan yang mampu kita berikan kepada mereka.
Saudara dan saudari,
Perselisihan dan pertengkaran adalah di antara perkara yang mustahil untuk dielakkan dalam kehidupan seharian. Kerana setiap daripada kita memahami sesuatu perkara dengan lensa pemahaman serta pengalaman kehidupan yang berbeza.
Disebabkan itu, tidaklah mustahil untuk seorang anak berbeza pendapat dengan orang tuanya, tidak juga mustahil untuk ibu dan ayah merasakan anak-anak mereka belum cukup pengalaman untuk membuat penilaian akan baik buruknya keputusan mereka. Itulah lumrah kehidupan.
Justeru perselisihan dan pertengkaran yang berlaku itu tidak sepatutnya mengakibatkan terputus ikatan. Sepertimana yang kadangkala kita dengar telah berlaku. Sehingga sebahagian individu tergamak mengusir kedua orang tua dan melepaskan tanggungjawab menjaga mereka di dalam usia lanjut mereka. Adakah kita lupa ketika kita masih kecil lagi, mereka yang menjaga kita sehingga kita dibesarkan dengan sempurna?
Ketahuilah, menjaga kedua ibu bapa kita waktu mereka memerlukan kita merupakan antara kunci syurga kita di hari kemudian kelak.
Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa Nabi (s.a.w.) bersabda yang bermaksud: “Ibu bapa merupakan pintu tengah Syurga, maka jagalah kedua ibu bapa kamu atau tinggalkan”. (Hadis riwayat Ibn Majah)
Marilah sama-sama kita menjalankan tanggungjawab kita sebagai anak dan membela kehidupan orang tua kita. Nescaya pengorbanan yang kita lakukan demi mereka sudah pasti akan memberi kemuliaan kepada kita di dunia dan akhirat kelak. Amin ya Rabbal ‘Alamin!
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم
Khutbah Kedua
الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.
أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.
وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.