

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
27 Mac 2026 / 7 Syawal 1447H
Ujian Menjaga Hubungan Silaturahmi

Zumratal mukminin rahimakumullah,
Marilah kita sentiasa memelihara ketakwaan kepada Allah s.w.t. dengan melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah pada hari akhirat kelak. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Bersesuaian dengan Syawal, bulan ziarah-menziarahi dan mengeratkan silaturahmi, khutbah ingin memberikan tumpuan pada amalan murni ini serta cabaran yang datang bersamanya.
Saudaraku,
Kita telah meninggalkan bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Kita melangkah keluar dengan berbekalkan nilai-nilai murni yang telah kita pupuk sepanjang bulan. Kini, kita telah pun melangkah ke bulan Syawal, bulan yang dihiasi dengan ucapan mesra, pertemuan yang mengeratkan silaturahmi serta menzahirkan hubungan kasih dan sayang.
Namun hakikatnya, hubungan sesama manusia tidak sentiasa mudah dan menyenangkan. Adakalanya tenang dan tenteram, terkadang pula diuji dengan ketegangan dan perselisihan faham. Sedarilah, memelihara silaturahmi merupakan satu amanah yang datang bersamanya ujian yang tidak kurang hebatnya. Apakah sandaran kata-kata saya ini?
Sila perhatikan panduan Rasulullah s.a.w. yang memberi gambaran bahawa, silaturahmi tidak hanya berlaku ketika aman dan tenteram. Sebaliknya, silaturahmi mesti terus mekar ketika hubungan tersebut dilanda ujian.
Baginda s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Seorang yang menyambung silaturahmi itu bukan sekadar (yang) membalas kebaikan (dengan kebaikan), tetapi (orang yang benar-benar menyambung silaturahmi) dia yang menghubungkannya (silaturahmi) setelah ia terputus.” (Riwayat Al-Bukhari)
Hadirin yang dimuliakan,
Ujian silaturahmi menguji 1) keihsanan, 2) kesabaran dan 3) kemampuan kita untuk memaafkan — tiga nilai positif yang begitu menyerlah ketika kita dididik dalam madrasah Ramadan.
Namun, apakah hambatan yang sering menghalang kita daripada mengamalkannya? Kesombongan dan keegoan!
Sifat sombong dan ego boleh menjadikan seseorang merasakan dirinya lebih mulia dan lebih penting daripada yang lain. Malah, Allah menjelaskan dalam Surah Luqman, ayat ke-18 bahawa sifat ini tercela dan dibenci-Nya:

Yang bermaksud: “Dan janganlah engkau memalingkan wajahmu (dengan sombong) daripada manusia, dan janganlah berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.”
Di samping itu, sifat sombong dan ego adalah hambatan kepada proses memperbaiki hubungan. Kehadiran kesombongan dan ego membiarkan salah faham, tawar hati dan dendam berlarutan, dan akhirnya merenggangkan hubungan yang dahulunya baik dan penuh kasih sayang.
Dengan mengambil pedoman daripada hadis Nabi s.a.w. yang dikongsikan tadi, dan dengan menerima hakikat bahawa setiap hubungan manusia pasti diuji, khutbah hari ini mengajak kita menghayati tiga langkah dalam memelihara silaturahmi ketika hubungan dilanda ujian.
Pertama: Berwaspada terhadap bibit-bibit keegoan dan kesombongan yang meresap dalam hati
Dua sifat ini kerap lahir secara halus tanpa disedari — sering kali ianya didorong tanggapan bahawa dirinya sentiasa benar, merasa sukar untuk memohon kemaafan, dan selalu memandang rendah dan berburuk sangka terhadap orang lain.
Hakikatnya, apabila kita memilih untuk mendengar lebih daripada bertengkar, mengutamakan memberi kemaafan daripada membalas, dan merendahkan diri demi keharmonian, kita telah memilih untuk menghidupkan akhlak yang dicintai Allah s.w.t.
Kedua: Sentiasa pilih jalan kedamaian
Memang mudah untuk kita menjauhkan diri dan menunggu pihak lain untuk memulakan langkah berdamai. Namun hal ini boleh mengeruhkan keadaan. Mengambil langkah pertama — sama ada dengan memberi salam, mengirim pesanan ringkas, atau memohon maaf dengan ikhlas — memerlukan keberanian, keikhlasan, dan yang terpenting, melenturkan rasa keegoan. Ia mencerminkan kematangan dan keinginan untuk mendapatkan keredaan Allah. Perlu diingatkan bahawa tujuan berdamai bukanlah untuk menentukan kebenaran atau kesalahan berada di pihak yang mana. Berdamai bertujuan memulihkan hubungan dan memelihara silaturahmi demi keredaan Allah.
Ketiga: Kita perlu memahami bahawa setiap hubungan adalah amanah dan sumber keberkatan.
Setiap individu, sama ada ibu dan ayah, anak, adik-beradik, pasangan, sahabat mahupun jiran hadir dalam kehidupan kita atas ketentuan Allah. Masing-masing mempunyai hak ke atas yang lain. Dan antara hak tersebut adalah santunan yang sebenarnya mencerminkan keimanan seseorang. Apabila kita memelihara hubungan ini dengan panduan iman serta iringan kesabaran, kasih sayang dan ihsan, Allah akan meletakkan keberkatan pada hubungan tersebut.
Sebaliknya, apabila kita mengabaikan amanah ini, bukan sahaja berkemungkinan kita kehilangan hubungan tersebut, tetapi juga keberkatan yang datang bersamanya. Oleh itu, peliharalah hubungan kita dengan sebaiknya, kerana melaluinya kita mendekatkan diri kepada Allah dengan melaksanakan apa yang telah diperintahkan-Nya.
Sidang jemaah yang dikasihi,
Syawal masih dalam dakapan. Maka marilah kita jadikan bulan mulia ini peluang untuk mengeratkan hubungan dan memperkukuh silaturahmi. Hulurkan tangan tanda bersalaman, tanyalah khabar, buatlah panggilan, mohon kemaafan, dan bersedialah untuk memaafkan.
Semoga Allah s.w.t. mengekalkan kemanisan hubungan yang kita nikmati hari ini, mengurniakan kelembutan dan kerendahan hati ketika kita menghadapi hubungan yang diuji, serta menjadikan setiap hubungan yang kita hargai sebagai sumber keberkatan dan ganjaran di dunia dan di akhirat nanti. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua

